Mar 15, 2012

Lima Sebab Datangnya Azab dan Seksa Allah

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain? (Al-An'aam 6:6)
Rasulullah Saw bersabda:
"Bagaimana kalian apabila terjadi lima perkara, dan aku berlindung kepada Allah mudah-mudahan lima perkara itu tidak terjadi pada kamu atau kamu tidak menjumpainya, iaitu,
1.Tidaklah perbuatan zina itu tampak pada suatu kaum, dikerjakan secara terang-terangan, melainkan nampak dalam mereka penyakit ta'un dan kelaparan yang tidak pernah dijumpai oleh nenek moyang dahulu.
2.Dan tidaklah kaum itu menahan zakat, melainkan mereka ditahan oleh Allah turunnya hujan dari langit, andai kata tidak ada binatang ternak tentu mereka tidak akan dihujani.
3.Dan tidaklah kaum itu mengurangi takaran dan timbangan, melainkan mereka disiksa oleh Allah dengan kesengsaraan bertahun-tahun dan sulitnya meneruskan hidup dan menyelewengnya penguasa.
4.Dan tidaklah pemimpin-pemimpin mereka itu menghukumi dengan selain kitab yang diturunkan oleh Allah, melainkan mereka akan dikuasai oleh musuh yang merampas sebagian kekuasaan mereka.
5.Dan tidaklah mereka itu mensia-siakan kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya, melainkan Allah menjadikan bahaya di antara mereka sendiri." (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

"Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan." (Hud : 117) 
Sumber : IluvIslam.com



Mar 14, 2012

Maafkan Abah, Aisyah


Paaangg! Satu tamparan yang kuat singgah di pipi Aisyah. Dia tersungkur ke lantai. Di usapnya pipi agar kesakitan tadi tidak berpanjangan. Merah padam muka abah menahan rasa marahnya akibat perbuatan yang tidak disengajakan Aisyah petang tadi. Dia tidak menyangka yang abah akan marah sebegini rupa. Abah yang dikenalinya dengan sifat penyayang dan mesra dengan anak-anaknya bertukar menjadi orang yang sangat bengis malam itu. Ibarat orang yang sedang dirasuk, abah memarahi dia dengan sebegitu bengis.

“Abah, maafkan Aisyah abah. Aisyah tak sengaja. Bukan niat Aisyah nak buat abah marah. Maafkan Aisyah abah!” Rayu Aisyah memeluk kaki abahnya. Namun rayuan itu tidak sedikit pun meredakan nafsu amarah yang sedang membelenggu abah ketika ini.

Pada saat ini dia teringatkan arwah ibunya. Andai arwah ibu masih ada sudah tentu dia akan dibela oleh ibu. Pasti juga ibu akan memujuk abah supaya kemarahannya kembali reda. Tetapi sekarang terpaksalah dia menelan segala kepahitan itu berseorangan.

“Sampai hati abah buat Aisyah begini. Aisyah tak bersalah abah. Abah perlu dengar penjelasan Aisyah terlebih dahulu.” Kata Aisyah menangis teresak-esak. Adik-adiknya yang lain hanya mampu melihat dari balik pintu bilik sambil menangis. Tidak berani mereka untuk keluar menyelamatkan kakaknya pada waktu itu. Mereka masih kecil dan belum boleh bertindak sedemikian. Hanya perasaan takut memyaluti mereka pada waktu itu.

Abah masuk ke bilik dan meninggalkan Aisyah keseorangan. Abah tahu, kalau dia masih berada di situ pasti sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Abah sedaya upaya mengawal dirinya dari bertindak melampau. “Astaghfirullahal a’zim.” Abah beristighfar sambil menghelakan nafas. Aisyah keseorangan menangisi nasibnya pada malam itu. Adik-adiknya yang sedari tadi hanya mengintai dari pintu bilik keluar memeluk kakaknya yang sedang kesedihan. Mereka menangis bersama-sama. Tatkala itu terasa kasih dan sayang yang erat sesama mereka.

Teringat lagi peristiwa yang berlaku petang tadi. Kejadian itu yang membuatkan abah mengamuk dan memarahinya tanpa usul periksa. Aisyah menemani Tasha yang ingin membeli buku di sebuah kedai di bandar. Aisyah hanya menuruti apa yang dihajatkan kawan baiknya itu. Bagi Aisyah tidak ada apa yang mencurigakan pada masa tersebut. Mereka hanya ingin keluar membeli buku dan itu sudah menjadi kebiasaan bagi mereka berdua.

Sampai di kedai tersebut Aisyah terus ke satu sudut kegemarannya. Sudut buku-buku agama dan novel tarbiah remaja. Dia membelek-belek buku yang dirasakan menarik dan membacanya sepintas lalu. “Menarik buku ni. Tapi aku tidak cukup duit untuk memilikinya sekarang.” Kata Aisyah kepada Tasha. “Tak mengapa. Gunalah duit aku dahulu. Nanti bila kau sudah ada duit kau bayarlah balik pada aku.” Ujar Tasha ingin memujuk. “Tak mengapalah. Mungkin hujung minggu ni aku akan bawa abahku bersama untuk membeli buku dan alat tulis.” Balas Aisyah tenang sambil memikirkan aktiviti yang akan dibuat mereka sekeluarga pada hujung minggu ini. Tasha mencebik seolah-olah tidak bersetuju dengan kata-kata Aisyah.

Tasha yang seakan tidak berpuas hati itu terus memujuk Aisyah. “Aisyah, baik kau pakai sahaja duit aku dulu. Hujung minggu ni belum tentu abahmu ada kelapangan waktu. Nanti takut terlepas pula peluang untuk kau membaca.” Kata Tasha yang berusaha mempengaruhi fikiran Aisyah. Aisyah merasakan sesuatu yang aneh. Tidak seperti kebiasaannya ketika bersama Tasha. Dia merasakan seolah-olah Tasha memaksanya untuk membeli buku itu. Namun cepat-cepat Aisyah menepis perasaan itu dan kembali bersangka baik kepada Tasha.

“Kalau bukan rezeki aku untuk memilikinya tak mengapa. Mungkin ada jual di kedai buku yang lain.” Balas Aisyah dengan senyuman. Dia masih mampu bersabar. Kalau hendak di ikutkan mahu sahaja dia turutkan kata-kata Tasha tadi tetapi dia tidak mahu menyusahkan kawan baiknya itu. Sudah menjadi tabiat Aisyah untuk tidak berhutang dan meminjam-minjam. Lebih-lebih lagi jika barang yang ingin dimilikinya itu bukan satu keperluan yang wajib.

Aisyah berlegar-legar di sekeliling kedai tersebut. Tanpa disedarinya Tasha mengambil sesuatu dan memasukkan ke dalam beg kepunyaan Aisyah. Setelah puas berlegar-legar Aisyah menuju ke pintu keluar kedai tersebut. Aisyah yang tidak menyedari tindakan Tasha sebentar tadi hanya melemparkan senyuman kepada pengawal pintu kedai berkenaan. Sewaktu dia melintasi pintu terdengar satu bunyi yang menandakan ada sesuatu di dalam beg kepunyaan Aisyah. Dia mencari Tasha. Rupa-rupanya Tasha sudah pun keluar dari kedai itu terlebih dahulu tanpa pengetahuan Aisyah.

Pengawal yang menjaga pintu tersebut mengesyaki sesuatu dan menyuruh Aisyah membuka beg kepunyaannya. Aisyah hanya menurut tanpa membantah. Dia tidak rasa takut kerana baginya dia tidak berbuat apa-apa kesalahan. Setelah pengawal tersebut memeriksa beg Aisyah dia mendapati terdapat sebuah buku yang masih belum di bayar. Aisyah terkejut. “Siapa yang memasukkan buku ini dalam begku?” Soal Aisyah kehairanan. Terdetik di hatinya mengenai Tasha. Sikapnya yang pelik sebentar tadi menguatkan lagi andaian itu.

“Adik, you mahu curi buku ni ya?” kata pengawal sambil mengangkat buku tersebut. “Tidak! Saya bukan pencuri!” Sahut Aisyah sedikit menjerit. Semua pelanggan yang ada di kedai tersebut memerhati kejadian yang berlaku di pintu keluar kedai berkenaan. Saat itu dirasakan semua mata tertumpu pada Aisyah. Aisyah menangis.

Di bilik pengawal Aisyah menunggu kedatangan abah. Sambil itu nama Tasha bermain di benaknya. “Sampai hati Tasha buat aku begini. Apa salah aku pada kau Tasha.” Kata Aisyah sambil mengelap air mata di pipinya. Pintu diketuk. Abah muncul di muka pintu dengan wajah berang. Di hadapan pengawal yang berada di bilik itu Aisyah ditampar dan dimarahi. “Kau mahu jadi pencuri ya? Siapa yang ajar kau jadi pencuri? Kau sengaja mahu malukan abah. Sekarang ni kau balik!” Bentak abah dengan suara yang tinggi.

Aisyah hanya menundukkan pandangan. Malu dengan apa yang terjadi pada dirinya. Dalam hati dia merafakkan doa “ Ya Allah. Ampunkan dosa sahabatku dan dosa yang dilakukan abah. Kau bukakanlah hati mereka untuk menemui kebenaran. Amin.” Air matanya tidak berhenti mengalir. Doanya dipersembahkan kepada yang Maha Esa agar segalanya akan terjawab dan selesai dengan cara yang baik. Remuk hatinya mengenangkan sikap Tasha. Seorang sahabat yang selama ini bersama berkongsi tawa dan duka, tempatnya mencurahkan segala cerita sanggup meninggalkannya sendirian berdepan masalah. Kini dia seperti mangsa korban fitnah kepada Tasha.

Di balik tirai Tasha duduk sendirian mengenangkan sikap dan dosa yang telah dilakukannya terhadap Aisyah. Dia mengurung dirinya di rumah dan tidak berani keluar menemui Aisyah seperti kebiasaan. Dia memikirkan nasib dan akibat yang terpaksa dilalui Aisyah akibat dari perbuatannya itu. Dia tidak tahu mengapa dia sanggup berbuat demikian. Tasha mula bingung. Dia terperangkap dengan perasaannya sendiri pada waktu itu. Tindakan drastiknya itu hanya kerana Aisyah menolak cadangan yang difikirkannya. Hal ini menjadikan dia tidak berfikir panjang lalu memasukkan buku tersebut ke dalam beg Aisyah. Benar, dia sengaja memasukkan buku yang diminati Aisyah ke dalam beg ketika Aisyah sedang leka membaca. Dia menangis mengenangkan kesilapannya. Dia tahu Aisyah kemungkinan akan dimarahi abahnya malah menerima nasib yang lebih teruk. “Apa yang sudah aku lakukan ni. Aisyah, aku minta maaf.” Sayu hatinya membisikkan kata maaf.

Hujan lebat membasahi laman rumah. Air yang menitik itu menampakkan titis jernihnya. Tasha merenung tajam air hujan yang meresap ke bumi. Begitu mudah air itu mengalir. Waktu itu dalam fikirannya dia nekad. Dia mahu keluar berjumpa Aisyah dan menceritakan kisah sebenar pada abahnya. Dia mahu meminta maaf kepada Aisyah dan memulangkan semula buku yang di ambil dari kedai buku tersebut. Dalam cuaca yang hujan lebat Tasha mengayuh basikal ke rumah Aisyah. Dia tidak menghiraukan lagi bajunya yang basah lencun akibat titisan air hujan itu. Baginya itu tidak penting lagi.

Sampainya di depan rumah Aisyah, dia menjerit memanggil nama kawan baiknya itu. Tasha bagaikan dirasuk hantu menjerit meminta maaf kepada Aisyah. “Aisyah, maafkan aku. Aku yang bersalah. Aku yang buat semua itu pada kau. Pak cik, tolong maafkan Aisyah.” Tasha menjerit di muka pintu rumah. Aisyah membuka pintu. Abahnya menyusul dari belakang.

Aisyah lantas memeluk Tasha yang sedang kesejukan. Di bawanya Tasha masuk ke dalam rumah dan memeluk erat sahabatnya itu. Abah yang hanya melihat kejadian itu hanya mampu berdiam diri. Dalam hatinya seolah-olah sudah timbul suatu penyesalan akibat terlalu terburu-buru mengambil tindakan terhadap anaknya, Aisyah.

Usai Aisyah melepaskan pelukan pada Tasha abah datang dan mencium kepala Aisyah. “Aisyah, maafkan abah nak. Abah bersalah menampar dan memarahi kamu.” Kata abah dalam keadaan beremosi. Timbul rasa bersalah kerana menghukum Aisyah tanpa membuat perbicaraan yang seadilnya. Adik-adiknya yang masih kecil itu terus datang dari bilik dan memeluk erat kakaknya. Suasana bertukar menjadi hiba. Aisyah hanya mampu sujud mensyukuri kekuasaan Allah SWT. “Alhamdulillah. Semuanya sudah jelas sekarang. Janganlah ada bibit-bibit kebencian lagi di antara kita selepas ini.” Aisyah kembali tersenyum.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.



Mar 13, 2012

Hingga Ke Garisan Penamat

Melihat jamnya yang semakin hampir pukul 8 pagi, Amin mengayuh basikalnya dengan laju. Dia tahu di mungkin akan ditinggalkan rombongan kontinjen dari sekolahnya akibat lewat. “Macam mana aku boleh lewat hari ni sedangkan dia tidur awal dan mengunci jam locengnya seawal jam 5.30 pagi. Ini demi memastikan dia bersedia dengan baik untuk pertandingan akhir kejohanan olahraga peringkat negeri.

Pagi ini dia bukan sahaja lewat bahkan terpaksa menerima ceramah percuma dari ibunya yang seawal pagi berusaha mengejutnya untuk bangun solat subuh. “Malang betul aku pagi ni. Harap-harap tak ditinggalkan oleh mereka.” Desis hatinya.

Kayuhan deras Amin menunjukkan beliau dalam prestasi yang terbaik ketika ini. Otot kaki nya bergerak laju mempamerkan kesungguhan dan kekuatan. Ketika peluh merembas di pipinya, saat itu juga di terkenangkan bagaimana dia diejek oleh Adli ketika saringan olahraga peringkat sekolah minggu lalu.

Dia masih ingat peristiwa dan kata-kata Adli yang memandang rendah kemampuannya untuk bersaing dalam acara pecut 200 meter. Maklumlah, bersaing dengan olahragawan dua tahun berturut-turut. Dirinya umpama sang kerdil yang ingin mencabar kehebatan jagoan sekolah dan wakil negeri itu. “Kau belum boleh menandingi aku Amin. Kau baru setahun jagung. Baik kau menyerah sahaja sebelum kau kalah dan menanggung malu.” Sindir Adli  yang disambut gelak tawa dari rakan-rakannya.

Ya. Memang dia bukan saingan yang mampu menggerunkan keangkuhan Adli. Mungkin bagi Adli dia sekadar pemanas badan baginya. Tetapi bagi Amin tiada apa yang mustahil untuknya melakukan kejutan. “Asafa Powell pun dulu bukanlah jaguh. Dia bermula dari bawah seperti aku. Tapi sekarang beliau pemegang rekod dunia dalam acara pecut 200 meter. Tiada apa yang mustahil.” Bisik hatinya memujuk.

Beliau ke trek larian setelah puas melakukan regangan. Tidak sabar mahu menundukkan ego dan keangkuhan Adli. Adli yang sedari tadi melihat Amin bersedia kelihatan mengambil tempatnya. Dia memandang Amin dengan pandangan sinis. Amin terasa tercabar dengan pandangan itu. “ Siaplah kau Adli.” Bentak Amin sedikit marah.


“Semua peserta diminta bersedia dan mengambil tempat masing-masing.” Jerit petugas sukan berkenaan. Cuaca yang panas membakar tidak sedikit pun melunturkan semangat Amin kali ini. Dia sudah lama menunggu saat untuk membuktikan kebolehannya. Jantungnya berdegup laju.

“Kegarisan...sedia...Pannggg!” bunyi tembakan pistol peluru kapur itu memecah suasana. Orang ramai menjerit memberikan sokongan kepada pelari-pelari pecut kesukaan mereka. Amin meluru bagaikan harimau bintang mengejar mangsanya. Ternyata lariannya semakin baik hasil dari latihan beratnya secara berseorangan. Kemampuannya memintas satu demi satu pelari memukau pandangan jurulatih lari pecut sekolahnya, Cikgu Bahar.

Cikgu Bahar  terpegun seketika dengan larian yang dipamerkan Amin. Matanya tidak lagi melirik kepada Adli yang selama ini menjadi pilihannya. Teknik dan kaedah larian Amin seolah-olah menggambarkan dia seorang pelari pecut profesional.

Amin pantas memecut dan memanjangkan lariannya. Dia mendahului di ketika ini meninggalkan pelari-pelari lain. Wajahnya kelihatan memerah kekuatan yang ada untuk sampai ke garisan penamat.

Adli yang mengikuti dari belakang semakin menghampiri Amin. Larian Amin menjadi perlahan. Adli melihat ada peluang untuk memintas. Lantas Adli mempercepatkan lariannya dan kini berada di sebelah Amin. Meraka berdua bersaing dan memintas pelari yang lain. Kini hanya Amin dan Adli yang semakin hampir dengan garisan penamat.

“Aku tidak boleh kalah!” Jerit Adli dalam hatinya. Saingan semakin sengit. Penonton semua bangun untuk melihat kesudahannya. Suasana stadium menjadi hiruk pikuk dengan suara dan jeritan dari penonton.

“Amin! Laju lagi. Kau mesti menang!” Amin bersorak untuk dirinya. Dia tahu yang tidak mungkin dia mempunyai penyokong.

Saat ini, teknik dan kaedah larian yang dipelajarinya menjadi taruhan. Mereka sudah semakin hampir ke penamat. Salah seorang dari mereka akan bergelar juara dan seorang lagi akan pulang membawa gelaran naib johan.

Muka Amin berkerut. Kakinya secara tiba-tiba terasa sakit. Kemungkinan mengalami kekejangan tetapi tidak diendahkan kesakitan itu. Dia terus memecut dan mengharapkan tali di hadapan itu akan disentuhnya terlebih dahulu sebelum Adli.

Kesakitan semakin mencengkam. Amin terjatuh. Dipegangnya peha sebelah kanan dan meraung sekuatnya. Matanya tetap memandang garisan penamat yang menjadi fokus lariannya. Tetapi apakan daya, Adli sudah mengangkat tangan dan menyentuh tali menandakan dia memenangi perlumbaan itu.

Amin menangis. Luruh hatinya ketika itu. Berkecai sudah harapannya untuk menundukkan keangkuhan Adli dan merampas gelaran Raja Pecut. Dia tunduk dan akur dengan keputusan yang dia telah gagal.

“Aku kalah?” Kata Amin seakan tidak boleh menerima kenyataan. Dua orang petugas meluru ke arah Amin memimpinnya untuk keluar. Ditepisnya tangan itu lalu dia berusaha untuk bangun.

Dengan kakinya yang sakit dia berlari terhenjut-henjut menuju garisan penamat. Penonton terdiam seketika memerhati tindakan Amin.

“Amin, apa yang awak buat ni?” Jerit Cikgu Bahar dari tepi. Dia sekadar memerhati tanpa mampu berbuat apa-apa. Kedengaran penonton berteriak memberikan sokongan. Rupa-rupanya Amin berlari dalam keadaan yang terhenjut-henjut menuju ke garisan penamat.

Adli yang sedang berseronok meraikan kejayaan kemudiannya berpaling. Memerhati wajah Amin dengan perasaan kagum. “Kau patut juara Amin” Spontan perkataan itu keluar dari mulut Adli. Dengan kesakitan yang menimpanya, Amin tetap meneruskan larian sehingga ke garisan penamat meskipun dia tahu dia sudah kalah dalam persaingan tadi. Seluruh penonton bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada Amin. Dia berjaya menamatkan larian dalam keadaan kesakitan.

Sampai di garisan penamat Adli menghulurkan tangan dan memeluk Amin yang hampir rebah menahan rasa sakit. “Amin, mengapa kau buat semua ni?” Soal Adli hairan melihat tindakan yang jarang di buat oleh sesetengah pelari.

“Aku bukan juara. Tapi aku ingin kalah dengan bermaruah. Saingan ini bukan untuk aku buktikan aku lebih hebat dari kau tetapi untuk membuktikan kesungguhan aku mencipta kejayaan.” Jawab Amin mengah.

Petugas yang sedari tadi bersedia di garisan penamat itu terus memaut Amin dan memberikan rawatan kepadanya. Pertandingan berakhir. Kini tiba masa untuk penyampaian hadiah dan kalungan pingat kepada juara kategori lari pecut 200 meter.

Selesai menerima pingat, Adli bergegas mencari Amin. Di cabutnya pingat yang baru dikalungkan itu dari lehernya dan menyarungkannya ke leher Amin. Amin tersentak dengan tindakan tersebut.

“ Amin, aku rasa kau lebih layak untuk menerima gelaran Raja Pecut pada tahun ni. Jika tidak kau kekejangan pasti kau sudah menang dan menewaskan aku. Aku minta maaf Amin jika selama ini aku memperkecilkan kau. Sekarang aku sudah tahu kebolehan kau.” Pujuk Adli perlahan sambil diperhatikan Cikgu Bahar.

“Benar Amin, kamu memang hebat. Sayangnya kamu kekejangan otot ketika sudah hampir ke garisan penamat. Jika tidak pasti gelaran Raja Pecut tahun ini berpihak kepada kamu. Tahniah Amin. Cikgu kagum dengan semangat kamu” Tambah Cikgu Bahar sambil menepuk-nepuk bahu Amin. Semua yang ada di situ bertepuk tangan dan mengucapkan tahniah.

“Amin!” Kedengaran satu suara memanggil namanya.

“Hai Amin, jauh kamu mengelamun.” Suara Cikgu Bahar membuatkan Amin tersedar dari lamunannya. Dia tidak sedar yang dia sudah sampai di depan pintu hadapan sekolah. “ Lekas, kita dah lewat ini. Nanti lambat ke stadium.” Kata Cikgu Bahar.

Kini Amin dan Adli akan bergandingan mewakili sekolahnya ke peringkat negeri di Kejohanan Olahraga Peringkat Negeri tahun 2011. “Angan-angan menjadi kenyataan. Siapa sangka aku bergelar Raja Pecut? Syukur kepadaMu Ya Allah.

Cerpen Cadangan Untuk Majalah Asuh 2012



Mar 8, 2012

Semangat Dari Azlan Ismail & Resha Hamzah

Assalamualaikum,


Memang masakan udang dan tempe tuan menjadi kesukaan saya apabila menjamahnya semalam. Tiada sangsi lagi!

Perkara penting yang tuan perlu tahu:

1. Banyakkan bahan bacaan dalam  dtor memori tuan mulai sekarang

2. Target buku apa yang mahu saudara tulis

3. Rajin ke kedai buku- Bedah isi kandungan buku yang saudara suka baca

4. Catat segala idea yang tuan rasa penting- Walaupun di atas sehelai kertas tisu- A. Samad Said melakukan kaedah ini sejak lama dahulu.

5. Berdoa kepada Tuhan kita iaitu Allah.

Sekian, wassalam.

Atas tu adalah emel dari En Azlan Ismail, penulis buku Eee..Sayur! Buku terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd yang terbaru dan hangat di pasaran. Karya sulung beliau bersama Editor Buku/Novel, En Amir Abd Hamid@ Resha Hamzah :
 
  
Terbit juga rasa cemburu melihat orang lain menulis dan menghasilkan karya. InsyaAllah, ada rezeki dan ilham kurniaan Allah SWT aku pun mahu meniti laluan yang sama seperti mereka.

Namun tidak semua hajat dan impian itu dapat digapai dengan begitu mudah. Pasti ada ujian di hadapannya. Dan ujian itu yang sedang aku lalui. Lappy! Ia sedang rosak minta dibaiki sekarang. Moga-moga ada pertolongan di sebalik ujian ini. (Ada sesiapa yang nak hadiahkan aku laptop baru?) :)

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada En Amir @ Resha Hamzah sebab sudi mengajak chef cap ayam sepertiku memasak di rumahnya untuk santapan tengah hari. Nak di ikutkan macam tak sempat rehat sejam untuk balik masak. Tapi atas kerjasama mereka ( Lan, Alif, Amir) sempat juga kita sediakan makanan tengah hari. Menu? Agak best juga. Pandai Lan pilih barang dapur. Pengantin baru lah katakan. (den tahu masak ape yang ada je) :)

Terakhir untuk kali ini, jangan lupa beli Majalah Q&A, ANIS dan ASUH keluaran April. Ada isu menarik untuk anda tatap dan amal. Jangan lupa juga baca artikel aku di ANIS. InsyaAllah :)


“Ya Allah, ajarilah aku akan segala hal yang bermanfaat bagiku dan berilah manfaat semua pengetahuan yang telah aku pelajari. Sungguh Engkau Zat Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ”

Kata-kata semangat untuk anda -

Hakikatnya hidup adalah perjuangan. Setiap perjuangan adalah untuk mendapatkan kemenangan. Kemenangan untuk mencapai "baldatun thaibatun warabun ghafur" iaitu menuju kehidupan yang aman, damai, bahagia dan makmur dalam keampunan Allah.


Ilalliqa'



Mar 5, 2012

Makan, Jangan Sampai Jadi Najis

Suatu petang sedang aku asyik menikmati kepekatan secawan kopi, datang seorang tua bersama keluarganya memilih untuk makan di sebelah meja ku. Aku sekadar menyapanya dengan salam dan melemparkan secebis senyuman.

"Assalamualaikum". Sapaku perlahan.
"Waa'laikum salam" jawabnya penuh hemah.

Matanya melilau mencari pekerja restoran. Ditunggu sekian lama baru lah datang seorang pemuda menyapanya untuk mengambil pesanan makanan.

"Maaf pak cik, ramai orang tadi. Tak cukup tangan saya nak melayan. Pak cik nak makan apa?"
"Tidak mengapa" Ujarnya lembut dan sopan. Pak Cik tersebut memandang dan bertanyakan isteri dan anak-anaknya.

"Erm..bagi kami nasi goreng ayam dan air milo suam". Isteri dan anaknya mengangguk tanda setuju.
"Baiklah pak cik. Tunggu sebentar ya". Pemuda tersebut beredar sambil melemparkan senyuman.

"Restoran apa ni? Bagus betul service" Desis hati ku. Pertama kali aku singgah di restoran ini membuatkan hati aku lapang. Suasana kedai yang ceria bertemakan warna hijau sangat kena dengan seleraku. Ditambah lagi dengan pekerja restoran yang berhijab sempurna dan pemuda-pemuda yang tampak soleh.

Layanan yang diberikan pekerja restoran tersebut sungguh mesra dan menyenangkan. Terserlah adab dan keperibadian yang baik ditonjolkan oleh pekerja-pekerjanya. Dalam kesabaran melayan kerenah pelanggan yang pelbagai, pemuda dan kesemua pekerja restoran tersebut masih mampu melemparkan senyuman.

Ya..senyuman itu mendatangkan kesenangan kepada sesiapa yang memandang. Lebih-lebih pula senyuman
dari pekerja restoran wanita di situ. Pasti membuatkan sesiapa sahaja terkena virus senyuman yang meleret. "Huh..cukup, jangan nak perasan" bentak hatiku.

"Dik, kira semuanya. Berapa ringgit semua sekali?" kata pakcik tadi dengan berhemah.
"Baru sahaja sampai dah nak kira? Pak cik makan dahulu, selesai makan baru saya akan kira jumlahnya".
Anganku dikejutkan dengan sapaan pemuda tadi. Dia kembali menghantar makanan yang dipesan pak cik sekeluarga di sebelah mejaku.
"Tidak boleh!" Kata pak cik tersebut sedikit keras. "Saya orang Muslim. Kami mesti bayar apa yang kami makan ini barulah ianya akan menjadi halal untuk kami menelannya".

Aku sekadar menelan air liur. Terkedu sebentar. "Ada juga orang yang masih menjaga soal makan minum sampai tahap begini?" desis hatiku. Kagum.
"Err..err, baiklah Pak Cik. Saya kirakan semuanya sekarang". balas pemuda tadi sedikit gugup.
Barangkali pemuda tersebut juga merasa terkedu dengan permintaan pak cik itu sekeluarga. Isteri pak cik tersebut hanya tersenyum memandang wajahku yang sedari tadi terlopong dengan kata-kata suaminya sebentar tadi. Dalam hati ku berbisik dan timbul persoalan yang besar dalam fikiranku atas kejadian sebentar tadi. Selama ini pun aku akan makan dahulu baru membayarnya. Sudah menjadi kebiasaan. "Sama juga rasanya kalau makan dahulu baru bayar". Hatiku berbisik kecil.

Pak cik tersebut seolah-olah mengerti apa yang bermain di fikiran ku sebentar tadi. Ditenungnya wajahku sambil tersenyum sinis. Barangkali tahu aku sedang malu.

"Dik, jangan terkejut. Pak cik memang akan bayar dahulu sebelum menelan makanan yang akan pak cik berikan pada keluarga pakcik. Takut-takut nanti makanan jadi tidak halal dimakan. Kadang-kadang kita selalu membayar dengan harga yang murah berbanding apa yang kita makan. Sesetengah orang tu ada yang tidak mahu mengaku apa yang di ambil dan dimakannya. Bukankah makanan yang dimakan itu akan menjadi darah daging kita?" Kata pakcik dengan tenang membuatkan aku semakin bertambah malu.

Aku terlopong mendengar ceramah spontannya. Ya, memang selama ini aku seakan sudah terbiasa dengan 'peradaban' begitu. Makan dahulu baru bayar. Ada juga yang mengurangkan kuantiti makanan yang di ambilnya hanya kerana mahu membayar dengan harga yang murah. Ada juga yang terlupa dengan apa yang dimakannya. Bayar sekadar apa yang di ingati. Yang selebihnya menjadi apa? Hutang? Atau makanan yang haram? Dan yang lebih teruk dari itu apabila aku terlihat juga sesetengah dari orang Islam yang makan tetapi tidak membayar apa yang dimakannya. Beredar dengan selamba sahaja tanpa ada sedikit perasaan pun terhadap perkara halal haram dan apa yang dimakannya. Mungkin bagi mereka ini sekadar perkara kecil yang boleh di maafkan tetapi bagi Allah SWT ianya merupakan perkara yang membawa kepada dosa.

Allah SWT berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 16 yang bermaksud :

“Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu.”

Tambah pakcik tersebut "Kita jarang nampak kasih sayang Allah dalam makanan yang kita makan. Dalam rezeki yang Allah SWT turunkan itu ada ihsan dan rahmat. Mengapa kita kotorkan rezeki tersebut dengan menjadikannya makanan yang haram? Bukankah api neraka itu akan membakar daging kita yang menelan benda-benda yang haram? Berhati-hatilah selepas ini. Jangan sampai jadi najis". Ujar pak cik berseloroh.

"Astaghfirullahal a'zim. Ya Allah...terima kasih kerana menemukan aku dengan satu pelajaran yang sungguh bermakna hari ini". Desis hatiku perlahan memohon keampunan dari kesilapan lampau. Mungkin ada sebelum ini yang aku tidak bayar dan lupa tentang apa yang aku telan.

Moga-moga Allah SWT ampunkan kesalahan aku yang lepas. Sesungguhnya aku jahil dan tidak mengetahui pada waktu itu. Lantas aku panggil pekerja restoran tersebut dan membayar harga secawan kopi yang ku hirup dan sepinggan nasi yang ku makan sebentar tadi.

"Kak,berapa semua sekali ya? Senyuman ku mulai melerat. Ahh..virus kembali menyerang.
"RM8.40 bang". Jawab pekerja wanita tersebut sambil membalas senyumanku tadi.
"Hai...makanan dah halal jangan haramkan yang lain. Haha". Seloroh pakcik bila melihatku yang tersenyum sedari tadi.



Untuk Kengkawan Yang Asyik Dok Tanya

Struktur Naskhah Laporan Latihan Industri

1. Kulit Hadapan
2. Penghargaan
3. Abstrak
4. Kandungan
5. Isi :-

BAB 1 – PENGENALAN ORGANISASI


BAB 2 – OPERASI ORGANISASI


BAB 3 – ANALISIS KERJA


BAB 4 – ANALISIS SWOT


* Kelemahan Organisasi (Huraikan perkara-perkara yang anda nampak sebagai kelemahan / kekurangan organisasi)
* Peluang-Peluang Organisasi (Peluang organisasi untuk maju / potensi / masa depan)
* Ancaman-Ancaman Organisasi (Huraikan perkara-perkara yang menjadi ancaman / halangan kepada organisasi)

BAB 5 – KESIMPULAN & CADANGAN LAMPIRAN


Format Penaipan

* Kekuatan Organisasi (Huraikan perkara-perkara yang anda fikir sebagai kekuatan / kelebihan organisasi)
* (Huraikan tugas yang anda jalankan sepanjang LI)
* (Huraikan skop tugas / aktiviti organisasi)
* (Sejarah, objektif, misi, visi, matlamat, cawangan, carta organisasi dsb – mana yg sesuai)


Font – Times New Roman
Saiz – 12
Langkau – 1.5 (1.5 spacing)
Tajuk ditaip huruf besar dan bold.
Sub-tajuk ditaip huruf kecil dan bold
Kertas untuk isi – putih
Kulit Keras Hijau Gelap (Binding seperti Tesis)
Panjang laporan – Maksimum 50 halaman (tidak termasuk lampiran)



Artikel Terbaru Artikel Terdahulu Home