Mar 13, 2012

Hingga Ke Garisan Penamat

Melihat jamnya yang semakin hampir pukul 8 pagi, Amin mengayuh basikalnya dengan laju. Dia tahu di mungkin akan ditinggalkan rombongan kontinjen dari sekolahnya akibat lewat. “Macam mana aku boleh lewat hari ni sedangkan dia tidur awal dan mengunci jam locengnya seawal jam 5.30 pagi. Ini demi memastikan dia bersedia dengan baik untuk pertandingan akhir kejohanan olahraga peringkat negeri.

Pagi ini dia bukan sahaja lewat bahkan terpaksa menerima ceramah percuma dari ibunya yang seawal pagi berusaha mengejutnya untuk bangun solat subuh. “Malang betul aku pagi ni. Harap-harap tak ditinggalkan oleh mereka.” Desis hatinya.

Kayuhan deras Amin menunjukkan beliau dalam prestasi yang terbaik ketika ini. Otot kaki nya bergerak laju mempamerkan kesungguhan dan kekuatan. Ketika peluh merembas di pipinya, saat itu juga di terkenangkan bagaimana dia diejek oleh Adli ketika saringan olahraga peringkat sekolah minggu lalu.

Dia masih ingat peristiwa dan kata-kata Adli yang memandang rendah kemampuannya untuk bersaing dalam acara pecut 200 meter. Maklumlah, bersaing dengan olahragawan dua tahun berturut-turut. Dirinya umpama sang kerdil yang ingin mencabar kehebatan jagoan sekolah dan wakil negeri itu. “Kau belum boleh menandingi aku Amin. Kau baru setahun jagung. Baik kau menyerah sahaja sebelum kau kalah dan menanggung malu.” Sindir Adli  yang disambut gelak tawa dari rakan-rakannya.

Ya. Memang dia bukan saingan yang mampu menggerunkan keangkuhan Adli. Mungkin bagi Adli dia sekadar pemanas badan baginya. Tetapi bagi Amin tiada apa yang mustahil untuknya melakukan kejutan. “Asafa Powell pun dulu bukanlah jaguh. Dia bermula dari bawah seperti aku. Tapi sekarang beliau pemegang rekod dunia dalam acara pecut 200 meter. Tiada apa yang mustahil.” Bisik hatinya memujuk.

Beliau ke trek larian setelah puas melakukan regangan. Tidak sabar mahu menundukkan ego dan keangkuhan Adli. Adli yang sedari tadi melihat Amin bersedia kelihatan mengambil tempatnya. Dia memandang Amin dengan pandangan sinis. Amin terasa tercabar dengan pandangan itu. “ Siaplah kau Adli.” Bentak Amin sedikit marah.


“Semua peserta diminta bersedia dan mengambil tempat masing-masing.” Jerit petugas sukan berkenaan. Cuaca yang panas membakar tidak sedikit pun melunturkan semangat Amin kali ini. Dia sudah lama menunggu saat untuk membuktikan kebolehannya. Jantungnya berdegup laju.

“Kegarisan...sedia...Pannggg!” bunyi tembakan pistol peluru kapur itu memecah suasana. Orang ramai menjerit memberikan sokongan kepada pelari-pelari pecut kesukaan mereka. Amin meluru bagaikan harimau bintang mengejar mangsanya. Ternyata lariannya semakin baik hasil dari latihan beratnya secara berseorangan. Kemampuannya memintas satu demi satu pelari memukau pandangan jurulatih lari pecut sekolahnya, Cikgu Bahar.

Cikgu Bahar  terpegun seketika dengan larian yang dipamerkan Amin. Matanya tidak lagi melirik kepada Adli yang selama ini menjadi pilihannya. Teknik dan kaedah larian Amin seolah-olah menggambarkan dia seorang pelari pecut profesional.

Amin pantas memecut dan memanjangkan lariannya. Dia mendahului di ketika ini meninggalkan pelari-pelari lain. Wajahnya kelihatan memerah kekuatan yang ada untuk sampai ke garisan penamat.

Adli yang mengikuti dari belakang semakin menghampiri Amin. Larian Amin menjadi perlahan. Adli melihat ada peluang untuk memintas. Lantas Adli mempercepatkan lariannya dan kini berada di sebelah Amin. Meraka berdua bersaing dan memintas pelari yang lain. Kini hanya Amin dan Adli yang semakin hampir dengan garisan penamat.

“Aku tidak boleh kalah!” Jerit Adli dalam hatinya. Saingan semakin sengit. Penonton semua bangun untuk melihat kesudahannya. Suasana stadium menjadi hiruk pikuk dengan suara dan jeritan dari penonton.

“Amin! Laju lagi. Kau mesti menang!” Amin bersorak untuk dirinya. Dia tahu yang tidak mungkin dia mempunyai penyokong.

Saat ini, teknik dan kaedah larian yang dipelajarinya menjadi taruhan. Mereka sudah semakin hampir ke penamat. Salah seorang dari mereka akan bergelar juara dan seorang lagi akan pulang membawa gelaran naib johan.

Muka Amin berkerut. Kakinya secara tiba-tiba terasa sakit. Kemungkinan mengalami kekejangan tetapi tidak diendahkan kesakitan itu. Dia terus memecut dan mengharapkan tali di hadapan itu akan disentuhnya terlebih dahulu sebelum Adli.

Kesakitan semakin mencengkam. Amin terjatuh. Dipegangnya peha sebelah kanan dan meraung sekuatnya. Matanya tetap memandang garisan penamat yang menjadi fokus lariannya. Tetapi apakan daya, Adli sudah mengangkat tangan dan menyentuh tali menandakan dia memenangi perlumbaan itu.

Amin menangis. Luruh hatinya ketika itu. Berkecai sudah harapannya untuk menundukkan keangkuhan Adli dan merampas gelaran Raja Pecut. Dia tunduk dan akur dengan keputusan yang dia telah gagal.

“Aku kalah?” Kata Amin seakan tidak boleh menerima kenyataan. Dua orang petugas meluru ke arah Amin memimpinnya untuk keluar. Ditepisnya tangan itu lalu dia berusaha untuk bangun.

Dengan kakinya yang sakit dia berlari terhenjut-henjut menuju garisan penamat. Penonton terdiam seketika memerhati tindakan Amin.

“Amin, apa yang awak buat ni?” Jerit Cikgu Bahar dari tepi. Dia sekadar memerhati tanpa mampu berbuat apa-apa. Kedengaran penonton berteriak memberikan sokongan. Rupa-rupanya Amin berlari dalam keadaan yang terhenjut-henjut menuju ke garisan penamat.

Adli yang sedang berseronok meraikan kejayaan kemudiannya berpaling. Memerhati wajah Amin dengan perasaan kagum. “Kau patut juara Amin” Spontan perkataan itu keluar dari mulut Adli. Dengan kesakitan yang menimpanya, Amin tetap meneruskan larian sehingga ke garisan penamat meskipun dia tahu dia sudah kalah dalam persaingan tadi. Seluruh penonton bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada Amin. Dia berjaya menamatkan larian dalam keadaan kesakitan.

Sampai di garisan penamat Adli menghulurkan tangan dan memeluk Amin yang hampir rebah menahan rasa sakit. “Amin, mengapa kau buat semua ni?” Soal Adli hairan melihat tindakan yang jarang di buat oleh sesetengah pelari.

“Aku bukan juara. Tapi aku ingin kalah dengan bermaruah. Saingan ini bukan untuk aku buktikan aku lebih hebat dari kau tetapi untuk membuktikan kesungguhan aku mencipta kejayaan.” Jawab Amin mengah.

Petugas yang sedari tadi bersedia di garisan penamat itu terus memaut Amin dan memberikan rawatan kepadanya. Pertandingan berakhir. Kini tiba masa untuk penyampaian hadiah dan kalungan pingat kepada juara kategori lari pecut 200 meter.

Selesai menerima pingat, Adli bergegas mencari Amin. Di cabutnya pingat yang baru dikalungkan itu dari lehernya dan menyarungkannya ke leher Amin. Amin tersentak dengan tindakan tersebut.

“ Amin, aku rasa kau lebih layak untuk menerima gelaran Raja Pecut pada tahun ni. Jika tidak kau kekejangan pasti kau sudah menang dan menewaskan aku. Aku minta maaf Amin jika selama ini aku memperkecilkan kau. Sekarang aku sudah tahu kebolehan kau.” Pujuk Adli perlahan sambil diperhatikan Cikgu Bahar.

“Benar Amin, kamu memang hebat. Sayangnya kamu kekejangan otot ketika sudah hampir ke garisan penamat. Jika tidak pasti gelaran Raja Pecut tahun ini berpihak kepada kamu. Tahniah Amin. Cikgu kagum dengan semangat kamu” Tambah Cikgu Bahar sambil menepuk-nepuk bahu Amin. Semua yang ada di situ bertepuk tangan dan mengucapkan tahniah.

“Amin!” Kedengaran satu suara memanggil namanya.

“Hai Amin, jauh kamu mengelamun.” Suara Cikgu Bahar membuatkan Amin tersedar dari lamunannya. Dia tidak sedar yang dia sudah sampai di depan pintu hadapan sekolah. “ Lekas, kita dah lewat ini. Nanti lambat ke stadium.” Kata Cikgu Bahar.

Kini Amin dan Adli akan bergandingan mewakili sekolahnya ke peringkat negeri di Kejohanan Olahraga Peringkat Negeri tahun 2011. “Angan-angan menjadi kenyataan. Siapa sangka aku bergelar Raja Pecut? Syukur kepadaMu Ya Allah.

Cerpen Cadangan Untuk Majalah Asuh 2012



No comments:

Post a Comment

Artikel Terbaru Artikel Terdahulu Home