Mar 14, 2012

Maafkan Abah, Aisyah


Paaangg! Satu tamparan yang kuat singgah di pipi Aisyah. Dia tersungkur ke lantai. Di usapnya pipi agar kesakitan tadi tidak berpanjangan. Merah padam muka abah menahan rasa marahnya akibat perbuatan yang tidak disengajakan Aisyah petang tadi. Dia tidak menyangka yang abah akan marah sebegini rupa. Abah yang dikenalinya dengan sifat penyayang dan mesra dengan anak-anaknya bertukar menjadi orang yang sangat bengis malam itu. Ibarat orang yang sedang dirasuk, abah memarahi dia dengan sebegitu bengis.

“Abah, maafkan Aisyah abah. Aisyah tak sengaja. Bukan niat Aisyah nak buat abah marah. Maafkan Aisyah abah!” Rayu Aisyah memeluk kaki abahnya. Namun rayuan itu tidak sedikit pun meredakan nafsu amarah yang sedang membelenggu abah ketika ini.

Pada saat ini dia teringatkan arwah ibunya. Andai arwah ibu masih ada sudah tentu dia akan dibela oleh ibu. Pasti juga ibu akan memujuk abah supaya kemarahannya kembali reda. Tetapi sekarang terpaksalah dia menelan segala kepahitan itu berseorangan.

“Sampai hati abah buat Aisyah begini. Aisyah tak bersalah abah. Abah perlu dengar penjelasan Aisyah terlebih dahulu.” Kata Aisyah menangis teresak-esak. Adik-adiknya yang lain hanya mampu melihat dari balik pintu bilik sambil menangis. Tidak berani mereka untuk keluar menyelamatkan kakaknya pada waktu itu. Mereka masih kecil dan belum boleh bertindak sedemikian. Hanya perasaan takut memyaluti mereka pada waktu itu.

Abah masuk ke bilik dan meninggalkan Aisyah keseorangan. Abah tahu, kalau dia masih berada di situ pasti sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Abah sedaya upaya mengawal dirinya dari bertindak melampau. “Astaghfirullahal a’zim.” Abah beristighfar sambil menghelakan nafas. Aisyah keseorangan menangisi nasibnya pada malam itu. Adik-adiknya yang sedari tadi hanya mengintai dari pintu bilik keluar memeluk kakaknya yang sedang kesedihan. Mereka menangis bersama-sama. Tatkala itu terasa kasih dan sayang yang erat sesama mereka.

Teringat lagi peristiwa yang berlaku petang tadi. Kejadian itu yang membuatkan abah mengamuk dan memarahinya tanpa usul periksa. Aisyah menemani Tasha yang ingin membeli buku di sebuah kedai di bandar. Aisyah hanya menuruti apa yang dihajatkan kawan baiknya itu. Bagi Aisyah tidak ada apa yang mencurigakan pada masa tersebut. Mereka hanya ingin keluar membeli buku dan itu sudah menjadi kebiasaan bagi mereka berdua.

Sampai di kedai tersebut Aisyah terus ke satu sudut kegemarannya. Sudut buku-buku agama dan novel tarbiah remaja. Dia membelek-belek buku yang dirasakan menarik dan membacanya sepintas lalu. “Menarik buku ni. Tapi aku tidak cukup duit untuk memilikinya sekarang.” Kata Aisyah kepada Tasha. “Tak mengapa. Gunalah duit aku dahulu. Nanti bila kau sudah ada duit kau bayarlah balik pada aku.” Ujar Tasha ingin memujuk. “Tak mengapalah. Mungkin hujung minggu ni aku akan bawa abahku bersama untuk membeli buku dan alat tulis.” Balas Aisyah tenang sambil memikirkan aktiviti yang akan dibuat mereka sekeluarga pada hujung minggu ini. Tasha mencebik seolah-olah tidak bersetuju dengan kata-kata Aisyah.

Tasha yang seakan tidak berpuas hati itu terus memujuk Aisyah. “Aisyah, baik kau pakai sahaja duit aku dulu. Hujung minggu ni belum tentu abahmu ada kelapangan waktu. Nanti takut terlepas pula peluang untuk kau membaca.” Kata Tasha yang berusaha mempengaruhi fikiran Aisyah. Aisyah merasakan sesuatu yang aneh. Tidak seperti kebiasaannya ketika bersama Tasha. Dia merasakan seolah-olah Tasha memaksanya untuk membeli buku itu. Namun cepat-cepat Aisyah menepis perasaan itu dan kembali bersangka baik kepada Tasha.

“Kalau bukan rezeki aku untuk memilikinya tak mengapa. Mungkin ada jual di kedai buku yang lain.” Balas Aisyah dengan senyuman. Dia masih mampu bersabar. Kalau hendak di ikutkan mahu sahaja dia turutkan kata-kata Tasha tadi tetapi dia tidak mahu menyusahkan kawan baiknya itu. Sudah menjadi tabiat Aisyah untuk tidak berhutang dan meminjam-minjam. Lebih-lebih lagi jika barang yang ingin dimilikinya itu bukan satu keperluan yang wajib.

Aisyah berlegar-legar di sekeliling kedai tersebut. Tanpa disedarinya Tasha mengambil sesuatu dan memasukkan ke dalam beg kepunyaan Aisyah. Setelah puas berlegar-legar Aisyah menuju ke pintu keluar kedai tersebut. Aisyah yang tidak menyedari tindakan Tasha sebentar tadi hanya melemparkan senyuman kepada pengawal pintu kedai berkenaan. Sewaktu dia melintasi pintu terdengar satu bunyi yang menandakan ada sesuatu di dalam beg kepunyaan Aisyah. Dia mencari Tasha. Rupa-rupanya Tasha sudah pun keluar dari kedai itu terlebih dahulu tanpa pengetahuan Aisyah.

Pengawal yang menjaga pintu tersebut mengesyaki sesuatu dan menyuruh Aisyah membuka beg kepunyaannya. Aisyah hanya menurut tanpa membantah. Dia tidak rasa takut kerana baginya dia tidak berbuat apa-apa kesalahan. Setelah pengawal tersebut memeriksa beg Aisyah dia mendapati terdapat sebuah buku yang masih belum di bayar. Aisyah terkejut. “Siapa yang memasukkan buku ini dalam begku?” Soal Aisyah kehairanan. Terdetik di hatinya mengenai Tasha. Sikapnya yang pelik sebentar tadi menguatkan lagi andaian itu.

“Adik, you mahu curi buku ni ya?” kata pengawal sambil mengangkat buku tersebut. “Tidak! Saya bukan pencuri!” Sahut Aisyah sedikit menjerit. Semua pelanggan yang ada di kedai tersebut memerhati kejadian yang berlaku di pintu keluar kedai berkenaan. Saat itu dirasakan semua mata tertumpu pada Aisyah. Aisyah menangis.

Di bilik pengawal Aisyah menunggu kedatangan abah. Sambil itu nama Tasha bermain di benaknya. “Sampai hati Tasha buat aku begini. Apa salah aku pada kau Tasha.” Kata Aisyah sambil mengelap air mata di pipinya. Pintu diketuk. Abah muncul di muka pintu dengan wajah berang. Di hadapan pengawal yang berada di bilik itu Aisyah ditampar dan dimarahi. “Kau mahu jadi pencuri ya? Siapa yang ajar kau jadi pencuri? Kau sengaja mahu malukan abah. Sekarang ni kau balik!” Bentak abah dengan suara yang tinggi.

Aisyah hanya menundukkan pandangan. Malu dengan apa yang terjadi pada dirinya. Dalam hati dia merafakkan doa “ Ya Allah. Ampunkan dosa sahabatku dan dosa yang dilakukan abah. Kau bukakanlah hati mereka untuk menemui kebenaran. Amin.” Air matanya tidak berhenti mengalir. Doanya dipersembahkan kepada yang Maha Esa agar segalanya akan terjawab dan selesai dengan cara yang baik. Remuk hatinya mengenangkan sikap Tasha. Seorang sahabat yang selama ini bersama berkongsi tawa dan duka, tempatnya mencurahkan segala cerita sanggup meninggalkannya sendirian berdepan masalah. Kini dia seperti mangsa korban fitnah kepada Tasha.

Di balik tirai Tasha duduk sendirian mengenangkan sikap dan dosa yang telah dilakukannya terhadap Aisyah. Dia mengurung dirinya di rumah dan tidak berani keluar menemui Aisyah seperti kebiasaan. Dia memikirkan nasib dan akibat yang terpaksa dilalui Aisyah akibat dari perbuatannya itu. Dia tidak tahu mengapa dia sanggup berbuat demikian. Tasha mula bingung. Dia terperangkap dengan perasaannya sendiri pada waktu itu. Tindakan drastiknya itu hanya kerana Aisyah menolak cadangan yang difikirkannya. Hal ini menjadikan dia tidak berfikir panjang lalu memasukkan buku tersebut ke dalam beg Aisyah. Benar, dia sengaja memasukkan buku yang diminati Aisyah ke dalam beg ketika Aisyah sedang leka membaca. Dia menangis mengenangkan kesilapannya. Dia tahu Aisyah kemungkinan akan dimarahi abahnya malah menerima nasib yang lebih teruk. “Apa yang sudah aku lakukan ni. Aisyah, aku minta maaf.” Sayu hatinya membisikkan kata maaf.

Hujan lebat membasahi laman rumah. Air yang menitik itu menampakkan titis jernihnya. Tasha merenung tajam air hujan yang meresap ke bumi. Begitu mudah air itu mengalir. Waktu itu dalam fikirannya dia nekad. Dia mahu keluar berjumpa Aisyah dan menceritakan kisah sebenar pada abahnya. Dia mahu meminta maaf kepada Aisyah dan memulangkan semula buku yang di ambil dari kedai buku tersebut. Dalam cuaca yang hujan lebat Tasha mengayuh basikal ke rumah Aisyah. Dia tidak menghiraukan lagi bajunya yang basah lencun akibat titisan air hujan itu. Baginya itu tidak penting lagi.

Sampainya di depan rumah Aisyah, dia menjerit memanggil nama kawan baiknya itu. Tasha bagaikan dirasuk hantu menjerit meminta maaf kepada Aisyah. “Aisyah, maafkan aku. Aku yang bersalah. Aku yang buat semua itu pada kau. Pak cik, tolong maafkan Aisyah.” Tasha menjerit di muka pintu rumah. Aisyah membuka pintu. Abahnya menyusul dari belakang.

Aisyah lantas memeluk Tasha yang sedang kesejukan. Di bawanya Tasha masuk ke dalam rumah dan memeluk erat sahabatnya itu. Abah yang hanya melihat kejadian itu hanya mampu berdiam diri. Dalam hatinya seolah-olah sudah timbul suatu penyesalan akibat terlalu terburu-buru mengambil tindakan terhadap anaknya, Aisyah.

Usai Aisyah melepaskan pelukan pada Tasha abah datang dan mencium kepala Aisyah. “Aisyah, maafkan abah nak. Abah bersalah menampar dan memarahi kamu.” Kata abah dalam keadaan beremosi. Timbul rasa bersalah kerana menghukum Aisyah tanpa membuat perbicaraan yang seadilnya. Adik-adiknya yang masih kecil itu terus datang dari bilik dan memeluk erat kakaknya. Suasana bertukar menjadi hiba. Aisyah hanya mampu sujud mensyukuri kekuasaan Allah SWT. “Alhamdulillah. Semuanya sudah jelas sekarang. Janganlah ada bibit-bibit kebencian lagi di antara kita selepas ini.” Aisyah kembali tersenyum.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.



No comments:

Post a Comment

Artikel Terbaru Artikel Terdahulu Home