Dec 22, 2010

Siapakah Tekno-Daie?

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tekno-daie ini seorang individu yang mempunyai pengetahuan agama dan pada waktu yang sama mempunyai pengetahuan mengenai teknologi. Namun, pada pandangan penulis, ia tidak semestinya demikian. Golongan tekno-daie dalam konteks abad ke-21 ini boleh dibentuk sebagai satu kumpulan atau jemaah yang mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri. Ini bermakna gerakan tekno-daie ialah satu gerakan jemaah. Di dalam jemaah tersebut, terdapat orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agam yang menjadi orang di hadapan tabir yang menyampaikan mesej amar maaruf nahi munkar. Beliau disokong pula oleh beberapa individu di belakang tabir yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang teknologi yang akan menyediakan bahan dakwah dalam bentuk yang inovatif, interaktif dan menarik untuk disampaikan kepada orang ramai menggunakan pendekatan dan aplikasi teknologi terkini. 

Dalam perkataan lain, golongan tekno-daie ini sebenarnya sekumpulan individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang satu iaitu ingin menegakkan syiar dan syariat Islam yang mengajak manusia ke jalan kebenaran. Ini merupakan satu kerjasama pintar yang membentuk sinergi di antara golongan agama dengan golongan teknologis. 

Tanggungjawab menjalankan dakwah ialah tanggungjawab semua orang Islam. Dakwah tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas bahu satu-satu pihak semata-mata. Seperti yang diterangkan oleh Noor Shakirah Mat Akhir (2002), dakwah boleh dilakukan dalam bentuk percakapan (daawah bil lisan), penulisan (daawah bil kitab) dan kelakuan (daawah bil hal). Seorang yang tidak boleh berdakwah dengan berpidato tetapi mempunyai kemahiran menulis sastera, wajar memanfaatkan anugerah Allah kepadanya ini untuk berdakwah dengan sastera. Seorang yang tidak boleh bersastera mahupun berpidato, boleh berdakwah melalui akhlak dan budi bahasanya. Tidak ada seorang pun yang boleh lari dari tanggungjawab berdakwah ini.

Dalam konteks perbincangan mengenai tekno-daie ini, ia memberi satu peluang kepada mereka yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang teknologi untuk turut sama berdakwah dengan bekerjasama dengan golongan alim ulama dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Golongan teknologis bertanggungjawab mempakejkan Islam menggunakan teknologi terkini supaya Islam dapat disampaikan secara lebih berkesan dan cekap. Golongan alim ulama pula menyediakan bahan kandungan yang amat diperlukan bagi tujuan dakwah.

Perlu disedari bahawa cabaran yang menanti umat Islam hari ini ialah ketandusan dan kekurangan bahan-bahan Islam yang dipakejkan menggunakan teknologi khususnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Justeru, bahan-bahan Islam yang menggunakan ICT perlu diperanyakkan. Bagi menjayakan matlamat ini, perlu ada kerjasama di antara golongan alim ulama dengan golongan teknologis. Gabungan kedua-dua ini akan mencetuskan dan merealisasikan gerakan jemaah tekno-daie.



No comments:

Post a Comment

Artikel Terbaru Artikel Terdahulu Home