Dec 22, 2010

Berdakwah Dalam Era Facebook

Aplikasi jaringan sosial semakin popular hari ini. Jika dahulu, MySpace dan Friendster menjadi pilihan, hari ini Facebook digunakan secara meluas oleh hampir semua orang yang mempunyai capaian kepada Internet. Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh sebuah firma penyelidikan iaitu TNS, penduduk Malaysia merupakan pengguna Facebook paling aktif di dunia (Perraudin, 2010). Pengguna Malaysia mempunyai paling ramai kawan iaitu purata 233 orang berbanding Brazil di tempat kedua (purata 231 orang) dan Norway (217 orang). Pengguna Facebook yang mempunyai kawan paling sedikit ialah Jepun (purata 12 orang). Pengguna Facebook di Malaysia juga, menurut kajian yang sama, merupakan pengguna yang berada di atas talian menggunakan jaringan sosial paling lama iaitu selama 9 jam seminggu, berbanding 8.1 jam seminggu bagi pengguna di Russia dan 7.7 jam bagi pengguna di Turki.


            Facebook menjadi popular kerana aplikasi jaringan sosial ini berjaya menyepadukan pelbagai aplikasi ke dalam aplikasinya. Pengguna boleh berkongsi gambar dan video; mengemas kini status, blog dan seumpamanya; berbual di atas talian; bermain permainan Internet; dan lain-lain lagi. Pengguna hanya perlu memasuki Facebook untuk membolehkan semua ini dilakukan.

            Para pendakwah boleh memanfaatkan Facebook yang mempunyai pelbagai aplikasi di dalamnya untuk berdakwah. Kebijaksanaan pendakwah boleh membantu kerja-kerja dakwah berjalan dengan berkesan menggunakan aplikasi Facebook ini. Video-video ceramah, artikel-artikel dakwah dan seumpamanya boleh dimuat naik ke Facebook. Malah, status ringkas pendakwah juga boleh meninggalkan kesan yang diinginkan kepada pengguna-pengguna Facebook.

            Banyak ruang dan peluang yang ada menerusi Facebook yang boleh diterokai dan digunakan oleh golongan pendakwah. Memandangkan aplikasi ini amat popular dalam kalangan pengguna Internet, khususnya di Malaysia, Facebook seharusnya diguna pakai dalam kerja-kerja dakwah. Ini merupakan satu wadah yang boleh mendekatkan pendakwah kepada masyarakat siber.

            Teknologi sebenarnya memungkinkan dakwah dijalankan 24 jam sehari sepanjang tahun. Hakikat yang dakwah ialah tugas yang berterusan dinyatakan menerusi satu ayat al-Qur’an yang mengisahkan usaha dakwah yang dijalankan oleh Nabi Nuh a.s.:

Terjemahannya:

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata, ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)’.
            Tidak dinafikan bahawa pendekatan dakwah konvensional dan tradisional masih penting. Walau bagaimanapun, perlu diwujudkan satu golongan pendakwah yang mampu memanfaatkan ICT bagi tujuan dakwah. Ini kerana rata-rata generasi hari ini adalah generasi celik ICT dan techno-savvy. Bagi menghampiri golongan ini, pendekatan moden dan terkini perlu digunakan. Atas sebab ini, perlu ada satu golongan tekno-daie yang bijak dan selesa dalam menggunakan ICT untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Mereka ini tidak semestinya pakar dalam menggunakan ICT tetapi memadai mempunyai keupayaan memanfaatkannya bagi menjalankan tugas-tugas amar maaruf nahi munkar. Malah sekiranya mereka bekerjasama dengan mereka yang pakar mengenai teknologi, manfaat yang akan diperoleh oleh gerakan dakwah Islamiah adalah lebih besar.

Justeru, usaha dakwah Islamiah yang dibantu dengan penggunaan teknologi secara bijaksana mampu menyumbang ke arah peningkatan keberkesanan mesej dakwah kepada masyarakat.



No comments:

Post a Comment

Artikel Terbaru Artikel Terdahulu Home