Apr 17, 2012

Demam PTPTN

Pendapat / pandangan Dr Maza :
 
1. Pertamanya, saya ucapkan tahniah kerana mereka ada keberanian. Itulah sikap sepatutnya bagi anak muda, tidak bacul tetapi bertindak balas dengan persekitaran.

2. Mereka terlalu muda dan sedang menimba pengalaman. Saya rasa tidak salah untuk mereka meneliti beberapa ulasan saya di sini. Mungkin kita berbeza tapi bukan bererti membenci. Pandangan ini mungkin boleh memberikan sedikit manfaat untuk perjuangan mereka yang seterusnya.

3. Adalah hak mereka untuk melaungkan hasrat ataupun berdemonstrasi, namun setiap tindakan sekalipun di medan perang fi sabilillah mempunyai disiplin yang mesti dipatuhi.

4. Saya sedar bahawa kemarahan rakyat bukan sekadar tertumpu kepada isu PTPTN, tetapi korupsi, penyalahgunaan kuasa, gaya mewah ‘orang-orang tertentu’ yang melebihi kewajaran dan lain-lain. Kesemuanya itu membangkitkan kebencian yang berjangkit kepada pelbagai isu yang lain.

5. Pada saya, alangkah baiknya jika mereka mahasiswa yang terlibat hanya melaungkan slogan tuntutan mereka tanpa mengiringinya dengan slogan-slogan yang berbau parti-parti tertentu. Ini bagi menunjukkan bahawa mahasiswa itu bebas dalam menentukan halatuju mereka tanpa ditentukan oleh pihak lain, samada pembangkang ataupun kerajaan.

6. Alangkah baiknya jika mereka mengawal bahasa dalam slogan-slogan yang dilaungkan. Orang muda bersemangat tapi juga beradab dan berhemat. Slogan-slogan yang buruk Allah tidak suka dan hanya mengikis simpati mereka yang belum menentukan pendirian.

7. Alangkah baiknya juga jika mereka tidak bertakbir ALLAH AKBAR mengiring ucapan yang tidak elok. Kalimat Allah itu boleh mengiringi semangat yang membakar dan pendirian yang tegas, tapi amat tidak wajar untuk mengiringi ucapan yang berunsur makian dan cercaan.

8. Isu samada memansuhkan langsung PTPTN, ataupun menghapuskan bunga (riba/pengurusan) ataupun menyusun semula agar tidak menjadi beban boleh dibahaskan secara ilmiah. Boleh dilihat di sudut positif dan negatif. Isu sebenar bagi saya yang membakar segala isu yang lain ialah wang dan harta negara ini banyak dibelanja secara salah dan tidak telus. Kebocoran di sana sini. Belanja yang melampau pada urusan yang tidak wajar, sedangkan para pelajar yang miskin ataupun kurang kemampuan dipaksa tanggung beban.

9. Jika negara belanja dan diurus secara telus, mungkin memansuhkan PTPTN tidak dilihat begitu perlu, sebaliknya ditimbang semula beberapa aspek dalam PTPTN itu.

10. Mahasiswa hendaklah terus memikul idealisma perjuangan tetapi hendaklah berakhlak dan mempunyai pendirian yang ilmiah dan mantap.

Sumber - http://drmaza.com


Akhlak Perjuangan.
1. Saya bersetuju malah menyokong tindakan membantah serta menentang kezaliman yang dilakukan oleh sang pemerintah. Malah sejak usia saya aqil dan baligh, saya dan rakan - rakan Pemuda PAS senantiasa bertindak agerasif tatkala berdepan kezaliman dan penginayaan terhadap rakyat sekalipun pelakunya adalah sang penguasa.

2. Namun saya senantiasa berusaha mengawal diri dan berpesan pada rakan agar setiap inci tindak tanduk kita dan setiap patah tutur bicara kita mestilah melandasi akhlak Rasulullah saw justeru kita menggalas amanah perjuangan Islam warisan Baginda saw. Jangan melampau dan keterlaluan dalam apa jua bentuk tindakan kerana ia bukanlah dari akhlak seorang pejuang. Lalu ia memulangkan kesan negatif serta persepsi yang comot kepada perjuangan suci yang kita dokong.

3. Sabar, tabah, hikmah dan tenang antara elemen yang mesti menghiasi diri. Jangan tolak kekerasan dengan kita juga melakukan kekerasan sebagaimana kita tidak boleh menolak keburukan dengan melakukan keburukan yang lain pula.

4. Perjuangan Islam asasnya akhlak dan hikmah bukan nafsu dan amarah. Bertindak dalam sedar. Gembirakan jangan meliarkan serta permudahkan dan memayahkan. Semasa kita menentang sebenarnya kita mengajar, sewaktu kita membantah sebenarnya kita mendidik, saat kita menolak sebenarnya kita membina, justeru itu kita jangan melulu dan keburu.

5. Akhlak pejuang bukan hanya terhadap ibu bapa, jamaah, pimpinan, masyarakat dan anggota jamaah, tetapi juga akhlak kita terhadap Allah swt. malah kita juga mempunyai Feqh Akhlak terhadap musuh yang kita tentang. Begitu Islam agama yang Indah dan kita adalah pejuangnya.

Sumber - Fb Ustaz Nasrudin Hassan At Tantawi (Ketua Pemuda PAS)
Pandangan saya yang fakir dan banyak kekurangan :

Saya bersetuju sekiranya ada inisiatif lain dapat diambil bagi menggantikan PTPTN. Namun begitu kaedah dan langkah dalam kita menyuarakan  pendapat tersebut haruslah melalui mekanisme yang betul. Sekiranya ada unsur-unsur seperti ini http://www.youtube.com/watch?v=XmoEEWUxzQM&feature=related atau perkara yang sedemikian rupa berlaku ianyanya amat memalukan dan menunjukkan tahap pemikiran mereka yang singkat.

Saya rasa amat dukacita dan malu sekiranya hasrat murni untuk melaksanakan pemansuhan ini di sulami dengan tindak tanduk yang semberono. Berhujahlah dengan adil dan ilmiah. Tindakan seperti ini hanya memalukan dan ibarat meludah ke muka sendiri.

Wahai sahabat dan teman-teman, dalam kita menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah, perlu kita jaga dan meneliti semula akhlak dan methodnya. Takut-takut kita pula di pandang jengkel oleh masyarakat. Ingat, matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Bertindaklah dengan keprofesional yang tinggi dan berakademik. Anda adalah wakil sebahagian daripada rakyat yang celik. Jangan di butakan hati untuk tujuan itu. Fahamilah bahawa tindak tanduk sedemikian hanya menjadikan sebahagian masyarakat yang lain berasa jengkel dan menggelengkan kepala.

Saya juga pernah turun ke medan yang sama di kampus dan di luar kampus. Ketika itu kita masih di peringatkan tentang 'panduan' berdemontrasi. Berdemolah, tetapi jangan sampai perkara yang ingin di suarakan itu menampakkan ketidakmatangan dalam bertindak. Jika sekalipun kita tidak bersetuju dengan seseorang individu, tidak perlu kita mengaibkan mereka dengan tindakan sedemikian. Mana letaknya nilai Islam kita pada waktu itu?

Sahabat dan teman-teman. Matlamat kita jelas. Mahukan keadilan dan kesejahteraan semua pihak. Kita tidak mahu graduan-graduan lepasan universiti di bebani hutang selepas mereka tamat pengajian. Kita tidak mahu melahirkan 'Graduan Berhutang'.  Kita mahu pendidikan yang sempurna dan tidak menzalimi golongan marhean. Namun perlu kita waspada dalam situasi ini. Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Justeru, sahabat dan teman-teman, waspadalah. Jangan terlalu diturutkan emosi dan keinginan yang membuak-buak. Fikir dan bertindaklah dengan bijaksana. Nescaya dengan kebijaksanaan kita nanti akan tercipta sesuatu perkara yang di impikan bersama.

Waallahu a'lam..

** Nampak beza AMK dengan Dewan Pemuda Pas



No comments:

Post a Comment

Artikel Terbaru Artikel Terdahulu Home